Popular Posts

Sunday, May 11, 2025

Jalan hidup di dalam kasih Allah

    Marilah kita bersyukur kepada Tuhan kerana kesempatan yang Dia berikan kepada kita semua untuk menilai dan merenungkan kembali segala kesilapan dan pilihan hidup kita yang salah sehingga murtad dan memilih jalan hidup yang salah. Disebabkan ketakutan dan mendengarkan orang lain, kita tersalah memilih kehidupan yang Tuhan mahu berikan kepada kita. Dan berdasarkan peristiwa sedih yang kita alami, ada kemungkinan kita ada rasa bersalah kerana terdorong untuk murtad dan lebih-lebih lagi terpaksa melakukan tindakan tersebut disebabkan oleh pendapat orang lain yang telah menakutkan Iman Katolik kita sebelum ini. Kekecewaan, rasa bersalah dan sedih serta marah masih menggangu kehidupan seharian kita. Dan ada juga di kalangan kita terhalang untuk datang ke Gereja Katolik untuk berdoa dan merayakan Ekaristi. Tetapi Allah itu adalah kasih yang sentiasa menerima anak-anakNya yang mahu bertobat dan kembali kepada kasih dan pengampunanNya (Mzm. 130:1-2,3-4ab,4c-6,7-8). Melalui pembacaan hari ini kita boleh di bantu untuk percaya kepada Tuhan kerana pesan dan jalan hidupNya adalah untuk keselamatan hidup kita semua dan masuk ke Syurga tanpa dosa dan kejahatan. Kita ikut sertakan Bunda Maria di dalam doa kita kerana gereja tanpa Bunda Maria adalah ibarat rumah yang kosong dan terbiar. Tetapi dengan adanya Bunda Maria gereja itu hidup dan damai kerana Bunda Maria sentiasa mendoakan kita. Santa Maria adalah Bunda Allah untuk Gereja Katolik kita.

    Walaupun kita tahu dan berpengetahuan tentang dunia ini dan bijak dalam soal urusan duniawi tetapi jika kita tidak ada rasa takut akan Allah ini bererti orang itu menempatkan dirinya di luar keselamatan dari Allah. Yang perlu kita sentiasa ingatkan adalah manusia telah jatuh ke dalam dosa. Dan disebabkan manusia itu makan buah pohon, mata mereka berdua terbuka dan mereka tahu bahawa mereka telanjang. Ketakutan mulai ada di dalam diri mereka dan tindakan yang mereka lakukan adalah bersembunyi. Tetapi Tuhan Allah tahu manusia itu telah jatuh ke dalam dosa (Kej. 3:9-15).
"Kerana sesungguhnya manusia itu telah menjadi salah satu dari Kita, tahu tentang yang baik dan yang jahat; maka sekarang jangan sampai ia mengulurkan tangannya dan mengambil pula dari buah pohon kehidupan itu dan memakannya, sehingga ia hidup untuk selama-lamanya." (Kej 3: 22). Firman Allah ini mengingatkan kepada kita bahawa yang baik dan jahat itu ada di dalam kehidupan peribadi kita masing-masing. Yang perlu kita sedari adalah semakin kita dekat dengan Tuhan, semakin halus cara dan godaan dari roh-roh jahat ini. Disinilah kita perlu tahu kita sebagai anak-anak rohani ada pilihan dan kebebasan. Terbukalah karya Roh Kudus agar kita sentiasa kuat dalam iman, teguh di dalam pengharapan serta beriman akan kasih Allah. Roh Kudus akan menerangi di dalam hati kita supaya kita semua beroleh terang dari pengetahuan tentang kemuliaan Allah. Dengan cara sedemikian kita akan mulai memahami Allah akan menyediakan suatu tempat kediaman di Syurga bagi kita untuk selama-lamanya (Kor. 4:13-5:1).

    Gereja sentiasa menerima orang yang bertobat. Walaupun kita pernah meninggalkan iman kepercayaan katolik kita sebelum ini, kita masih dapat dimaafkan. Kisah lampau kita membuat kita keliru sehingga tidak menyedari dan memahami bahawa kita telah menutup mata dan hati kita akan karya Roh Kudus. Kita renungkan bersama apa yang tertulis disini; "Sebab mereka yang pernah diterangi hatinya, yang pernah mengecap karunia sorgawi, dan yang pernah mendapat bagian dalam Roh Kudus, dan yang mengecap firman yang baik dari Allah dan karunia-karunia dunia yang akan datang, namun yang murtad lagi, tidak mungkin dibaharui sekali lagi sedemikian, hingga mereka bertobat, sebab mereka menyalibkan lagi Anak Allah bagi diri mereka dan menghina-Nya di muka umum" (Ibrani 6:4-6). Percayalah kita masih dapat diampuni jika selama ini kita keliru dalam soal hal keilahian Yesus. Tetapi kita tidak dapat dimaafkan kalau menutup mata dan hati kita untuk karya Roh Kudus. Dengan meniadakan karya Roh Kudus, kita menolak tawaran paling luhur yang disampaikan oleh Allah. Ini maksudnya kita telah menempatkan diri kita di luar keselamatan (Mrk 3: 28-29).
Kasihilah Tuhan senantiasa dan turutilah firmanNya yang kita baca, renungkan dan doakan setiap hari. Tuhan akan datang kepada kita dan diam bersama-sama dengan kita. Inilah tandanya bahawa kita benar-benar mencintai dan menuruti segala firmanNya. Jika kita tidak setia dan mentaati apa yang Allah firmankan kepada kita, dapatkah kita menempatkan diri kita semula di dalam kasih Allah dan keselamatanNya? Semoga dalam masa "The Year of Prayer 2024 and The Jubilee Year 2025" kita memperolehi sesuatu tanda-tanda zaman yang dapat mendorong kita untuk setia dan percaya kepada kehadiran Yesus di Ekaristi dan TabernakelNya.

No comments:

Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Bab 20

  Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Abraham dan Abimelekh Bab 20 Kej 20:1 Lalu Abraham berangkat dari situ ke Tanah Negeb dan ia...