PENGENALAN
Sebagai pengikut Tuhan Yesus Kristus dan percaya kepada GerejaNya yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostiolik, adalah penting sekali bagi kita semua untuk memahami iman katolik kita. Walaupun kita telah menerima Sakramen-sakramen Gereja Katolik, kita perlu sentiasa melihat pada diri sendiri dan berusaha sebaiknya, adakah kehidupan kita ini benar-benar bertobat dan menerima penyelamatan daripada Yesus Kristus. Inilah yang saya fikirkan tujuan akhir hidup saya secara peribadi. Dan apabila masanya sudah tiba untuk saya kembali ke Syurga, Tuhan menerima jiwa saya ini tanpa dosa dan kejahatan. Saya berdoa agar pertemuan saya dengan Tuhan Yesus Kristus, menyatukan jiwa ini kepada hidup yang baru di dalam kasih Allah (Yoh 19: 28-30, Mat 27: 45-50, Luk 23: 44-49, Markus 15: 33-41). Ya Tuhan, semuanya sudah selesai (Yoh 19: 30).
DOSA KITA DAN PENYELAMATAN DARIPADA TUHAN YESUS KRISTUS
Walaupun kita telah memperolehi pengampunan daripada Tuhan melalui Sakramen Pengakuan Dosa, ingatlah bahawa itu belum cukup untuk bagi kita untuk layak masuk ke Syurga kerana absolusi menghapuskan dosa, namun tidak mengatasi semua ketidakadilan yang disebabkan dosa. Setelah pendosa mengangkat diri dari dosa, ia masih harus mendapat kesihatan rohani yang penuh. Ia harus “membuat silih” untuk dosa-dosanya, harus memperbaiki kesalahan atas suatu cara yang cocok. “Penyilihan” ini juga dinamakan “penitensi.” (KGK 1459). Dosa kita telah diampuni tetapi jika jiwa kita ini masih belum disucikan oleh Tuhan, dapatkah manusia itu masuk ke Syurga? Menurut ajaran Gereja Katolik kita, ada tiga perkara yang perlu kita tahu setelah kita meninggal dunia. Yang pertama adalah Api Penyucian ataupun Purgatory, yang kedua ialah Neraka dan yang ketiga itu adalah Syurga (KGK 1020-1060). Saya juga terfikir ada kemungkinan di antara kita ini menganggap bahawa doa tobat (pernyataan tobat) iaitu yang terdapat di dalam Teks Pernyataan Tobat Missale Romanum, Tata Perayaan Ekaristi yang lama dan baru terjemahannya, yang kita lakukan setiap hari sewaktu Misa Kudus di Gereja Katolik itu sudah cukup untuk bagi kita memperolehi pengampunan daripada Tuhan. Kita boleh baca kembali doa rumusan ini;
Doa Tobat (pilihan adalah bebas)
CARA A:
U: Saya mengaku kepada Allah yang Mahakuasa, kepada Santa Perawan Maria, kepada Malaikat Agung Santo Michael, kepada Santo Yohanes Pembaptis, kepada Rasul Santo Petrus dan Paulus, kepada semua Orang Kudus dan kepada saudara sekalian: bahawa saya sangat berdosa dengan fikiran, perkataan dan perbuatan, saya berdosa, saya berdosa, saya sungguh berdosa. Oleh sebab itu, saya mohon kepada Santa Perawan Maria, kepada Malaikat Agung Santo Michael, kepada Santo Yohanes Pembaptis, kepada Rasul Santo Petrus dan Paulus, kepada semua Orang Kudus, dan kepada saudara sekalian, supaya mendoakan saya kepada Allah, Tuhan kita.
P: Semoga Allah yang mahakuasa mengasihani kita, mengampuni dosa kita dan mengantar kita ke hidup yang kekal.
U: Amen.
CARA B:
U: Saya mengaku kepada Allah yang mahakuasa
dan kepada saudara sekalian,
bahwa saya telah berdosa dengan pikiran dan perkataan,
dengan perbuatan dan kelalaian.
Saya berdosa, saya berdosa, saya sungguh berdosa.
Oleh sebab itu saya mohon kepada santa perawan Maria,
kepada para malaikat dan orang kudus
dan kepada saudara sekalian,
supaya mendoakan saya pada Allah, Tuhan kita.
P: Semoga Allah yang mahakuasa mengasihani kita, mengampuni dosa kita dan mengantar kita ke hidup yang kekal.
U: Amen.
CARA C:
P: Tuhan Yesus Kristus, Engkau diutus menyembuhkan orang yang remuk-redam.
Tuhan, kasihanilah kami.
U: Tuhan, kasihanilah kami.
P: Engkau datang memanggil orang yang berdosa.
Kristus, kasihanilah kami.
U: Kristus, kasihanilah kami.
P: Engkau duduk di sisi Bapa sebagai pengantara kami.
Tuhan, kasihanilah kami.
U: Tuhan, kasihanilah kami.
P: Semoga Allah yang mahakuasa mengasihani kita, mengampuni dosa kita dan mengantar kita ke hidup yang kekal.
U: Amen.
CARA D:
P: Selama kusembunyikan dosaku, batinku tertekan,*
dan aku mengeluh sepanjang hari.
U: Berbahagialah orang bila dosanya diampuni.
P: Aku mengakui dosaku di hadapanMu, Tuhan,*
dan kesalahanku tidak kusembunyikan.
U: Berbahagialah orang bila dosanya diampuni.
P: Nasib orang berdosa sengsara belaka,*
tetapi orang yang percaya kepada Tuhan dilimpahi kasih setia.
U: Berbahagialah orang bila dosanya diampuni.
P: Semoga Allah yang mahakuasa mengasihani kita, mengampuni dosa kita dan menghantar kita ke hidup yang kekal.
U: Amen.
CARA E:
P: Kasihanilah kami, ya Tuhan.
U: Sebab kami orang yang berdosa.
P: Tunjukkanlah belaskasihanMu kepada kami, ya Tuhan.
U: Dan anugerahkan keselamatan kepada kami.
P: Semoga Allah yang mahakuasa mengasihani kita, mengampuni dosa kita dan mengantar kita ke hidup yang kekal.
U: Amen.
Ataupun doa rumusan absolusi seperti yang terdapat di dalam KGK 1449 iaitu pengampunan dosa dari Paderi Katolik kita setelah membuat pengakuan dosa;
"Allah, Bapa yang mahamurah telah mendamaikan dunia dengan diri-Nya, dalam wafat dan kebangkitan Putera-Nya. Ia telah mencurahkan Roh Kudus demi pengampunan dosa. Dan berkat pelayanan Gereja, Ia melimpahkan pengampunan dan damai kepada orang yang bertobat. Maka saya melepaskan saudara dari dosa-dosa saudara, Demi nama Bapa dan Putera dan Roh Kudus."
Saya menjemput anda semua untuk memulakan doa renungan dan refleksi tentang diri sendiri dan kasih Allah di dalam nama Tuhan Yesus Kristus. Jangan berhenti untuk melakukan doa discernment, doa pertobatan, penyesalan, pengakuan dosa dan penyilihan (KGK 1450-1460).
Ini dapat membantu kita semua untuk meneliti cara hidup kita masing-masing. Itulah sebabnya saya mengingatkan dan menjelaskan kepada semua ahli yang ada di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels) agar jangan menganggap dan ambil mudah begitu sahaja mengenai Sakramen-sakramen Gereja Katolik. Jika kita tidak mahu menerima pengampunan dan belaskasihan daripada Tuhan dan menolak penyelamatanNya dan kasihNya, kita sebenarnya menolak siapakah itu Tuhan dan akhirnya masuk ke Neraka (Injil Santo Lukas 12: 8-10). Dan jika hidup kita ini berkenan di mata Tuhan dan memiliki kehidupan yang baik dan suci dan memperolehi pengampunan daripada Tuhan, kita sebenarnya pasti masuk ke Syurga dan tidak perlu lagi ke Api Penyucian. Dan jika kita sudah memperolehi pengampunan daripada Tuhan tetapi jiwa kita masih belum disucikan oleh Tuhan, itu maknanya kita akan masuk ke Api Penyucian. Api Penyucian tidak sama dengan api di Neraka.
Saya mahu membawa anda semua untuk kembali kepada keheningan di dalam doa. Banyak gangguan dan suara-suara duniawi yang menghalang kita untuk lebih peka akan kehadiran Tuhan, inspirasi dari Roh Kudus dan peringatanNya. Lihatlah kejadian di tempat kita masing-masing sehingga terjadinya kes buli yang menyebabkan kematian. Ada juga beberapa tempat kejadian di dunia sekarang ini yang memperlihatkan kekejaman disebabkan perang. Ketamakan, kezaliman dan ketidakadilan yang menyebabkan orang ramai menderita, terjadinya kelaparan dan kehausan berlanjutan serta sakit penyakit disebabkan tiada sumber bekalan ubat-ubatan. Kemiskinan terjadi disebabkan kejahatan dan dosa dan lebih teruk lagi tiadanya damai di hati, damai di rumah dan damai di dunia ini. Jika kita menilai kembali tanda-tanda zaman dunia ini, kebanyakannya ramai nyawa yang terancam disebabkan melayani sesama manusia khususnya apa yang terjadi di dalam komuniti Gereja Katolik kita di beberapa tempat dan kawasan, yang sering kali terjadinya kejadian kematian atas faktor di tangkap dan kemudian dijadikan sebagai tebusan.
Kesan dari penangkapan tersebut, hampir keseluruhannya diseksa tanpa belaskasihan dan seterusnya dibunuh. Kita boleh lihat keganasan ini berlaku di media sosial dan yang menyedihkan lagi adalah para Paderi Katolik kita itu ditangkap dan kemudian dibunuh. Ancaman seperti ini adalah sebahagian sahaja yang saya berikan disini. Banyak lagi kejadian di luar sana yang memberikan kesan buruk terhadap perkembangan tamadun manusia sehingga kini. Namun demikian, saya yakin jika kita melibatkan Tuhan di dalam doa dan percaya kepadaNya, pasti ada sesuatu yang kita perolehi daripadaNya. Dunia kita ini sebenarnya baik dan selamat. Tetapi disebabkan dosa dan kejahatan pada diri manusia itulah yang menjadikan dunia ini semakin dalam keadaan tidak baik. Lihatlah di dunia kita sekarang ini terdapatnya kes dadah semakin berleluasa sehingga menjejaskan keadaan ekonomi, kestabilan keselamatan serantau dunia terjejas dan lebih jelas lagi kesan daripada semua ini menjadikan kita semua saling menunding jari, membuat spekulasi yang tidak baik, menyalahkan pihak kerajaan dan kadang-kadang menyalahkan pihak yang tidak bersalah.
Peristiwa yang saya jelaskan sebentar tadi merupakan tiga kemungkinan kita sebagai manusia untuk masuk ke Syurga, masuk ke Api Penyucian ataupun masuk ke dalam Neraka untuk selama-lamanya. Ingatlah akan kasih dan pengampunan dari Tuhan. Jika kita hidup dalam keadaan tidak ada dosa-dosa berat, mahu berdamai dengan Tuhan, bertobat, dan dalam keadaan suci serta menerima Tuhan, kita pasti dan langsung masuk ke Syurga kerana kesucian hidup kita setelah meninggal dunia. Dan ketika kita meninggal dunia dan menerima Tuhan, dan kemudian dosa-dosa kita sudah diampuni, tetapi jika jiwa kita masih belum disempurnakan, ini bermakna kita akan masuk ke Api Penyucian. Dan untuk menyempurnakan jiwa-jiwa yang sudah diampuni dosanya, Gereja Katolik kita yakin dan percaya ada masa sebelum masuk ke Syurga, iaitu di Api Penyucian, jiwa-jiwa tersebut akan disucikan oleh Tuhan (masa disucikan oleh Tuhan yang namanya Purgatori). Dan jika manusia itu menolak Tuhan sampai akhir hidupnya, menolak cintakasih dan penyelamatan dari Tuhan dan tidak mahu bertobat serta tidak mahu menerima kasih dan keselamatanNya, ini bermakna manusia itu akan masuk ke Neraka.
KENAPA ADA KESEMPATAN UNTUK DIMURNIKAN DI API PENYUCIAN?
Untuk menjelaskan tentang hal ini, saya hanya memberikan perkongsian yang sederhana sahaja agar memudahkan kita semua memahami bagaimana kasih Allah itu terhadap kita semua. Saya mahu agar mereka yang tidak berpengetahuan dan lemah pelajarannya dapat faham apa pesan yang saya maksudkan disini. Ini menjelaskan kehidupan kita setiap hari dan kesannya terhadap sesama kita terutama untuk kehidupan kerohanian kita semua. Misal kata, kalau ada seorang anak kita telah melakukan kejahatan, kita boleh menilai sendiri bagaimana sifatnya itu pemarah, teruk, pendendam. Ini menunjukkan bahawa sifat anak-anak kita itu adalah teruk dan kurang baik. Kemudian terjadi satu kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kita sebagai contoh merosakkan harta benda di rumah kita. Perbuatan itu adalah bersalah dan sudah tentu terus dimarahi oleh ibubapa. Anak-anak itu kemudian meminta maaf dan sudah tentu kita sebagai keluarganya akan memaafkan perbuatan tersebut. Jika kita lihat kejadian ini, kesalahan, dosa, kurang ajar anak-anak itu telah dimaafkan. Tetapi sifat anak-anak yang teruk dan kurang baik itu belum tentu sembuh. Inilah yang saya maksudkan disini bagaimana perbuatan anak-anak kita itu telah diampuni dan yang telah dimaafkan. Sebagai contoh, kita sebagai ibubapa yang baik akan mengampuni dan memaafkan kesalahan anak-anak kita. Ada juga yang mengatakan, “saya mengampuni kamu kio tapi kamu satu minggu tidak boleh buat itu dan ini”. Cara ini adalah sebagai hukuman terhadap anak-anak itu. Jadi mengapa dihukum sedangkan telah dimaafkan? Hukuman anak-anak itu adalah untuk memperbaiki sifatnya yang teruk dan kurang baik. Bezanya disini adalah antara kesalahan yang telah dimaafkan dengan sifatnya yang teruk dan kurang baik itu harus diperbaiki. Di dalam Gereja Katolik, orang itu berdosa, kurang ajar sama Tuhan, minta maaf kepada Tuhan, diampuni oleh Tuhan, dan kemudian dosa, kesalahan, kurang ajarnya diampuni. Tetapi bagaimana dengan hati orang itu? Adakah jiwanya sudah selamat? Disinilah kita dapat memahami bahawa walaupun sudah diampuni, hatinya perlu diperbaiki.
Ketika masih hidup di dunia ini, kita semua telah melakukan Sakramen Pengakuan Dosa kita masing-masing. Kita telah mengakui kesalahan dan dosa-dosa kita kepada Paderi Katolik sebagai contoh marah kepada keluarga, mempersalahkan keluarga, dan menuduh salah kepada keluarga. Kemudian Paderi Katolik memberikan jenis-jenis penitensi yang ditetapkan untuk setiap dari kita semua setelah mengakui dosa-dosa kita. Penitensi itu adalah bertujuan untuk memperbaiki jiwa kita ini. Marilah kita ambil satu contoh iaitu kemarahan disebabkan arak dan mabuk. Ada kemungkinan orang yang cepat marah dan mabuk ini dinasihatkan agar jangan minum arak keterlaluan agar tidak marah lagi. Itulah namanya penitensi yang baik (jangan minum arak lagi) untuk memperbaiki jiwanya yang rosak. Itulah hidup kita selama di dunia ini. Seseorang yang hidupnya teruk dan kurang baik, berdosa terus, dan ketika mahu meninggal dunia, meminta agar dipanggil Paderi Katolik kerana mahu bertobat, kemudian orang itu mengaku dosanya, dan kemudian diampuni dosanya, apakah jiwanya langsung suci dan masuk terus ke Syurga? Jawapan yang boleh saya berikan disini adalah tidak. Ini kerana dan sebabnya adalah kerana dosanya memang telah diampuni, tetapi ketika dia meninggal dunia, Gereja Katolik yakin bahawa jiwanya masih belum suci dan baik, maka sebelum masuk ke syurga, Tuhan membersihkan jiwanya. Itulah masa namanya Api Penyucian.
Api penyucian adalah tidak sama dengan penderitaan di api neraka yang menyeksa. Sifat Api Penyucian itu menyucikan dan orang disitu menderita bukanya diseksa, orang yang di Api Penyucian menderita bukanya diseksa tetapi orang yang berada di Api Penyucian menderita kerana menyesal bahawa sudah berdosa, menyesal dan belum bertemu dengan Tuhan secara penuh kerana masih disiapkan untuk bertemu dengan Tuhan. Masa menunggu jiwa-jiwa inilah menderita sekali. Maka inilah yang digambarkan seperti api. Dan dalam masa menantikan kedatangan kali kedua Tuhan Yesus Kristus, marilah kita semua memilih untuk terus bersama dengan ajaran Tuhan dan GerejaNya yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik. Syurga ada di dalam doa kita semua. Itulah sebabnya saya menasihatkan dan menyarankan kepada anda semua bahawa pilihan dan cara hidup di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels) boleh membawa kita masuk ke Syurga tanpa dosa dan kejahatan. Yesuslah sumber inspirasi dan teladan kita semua. Hadirlah ke Misa kudus dan berdoalah sentiasa tanpa rasa malu dan takut. Di zaman moden ini, orang biasa seperti kita dipilih oleh Tuhan menjadi Orang KudusNya. Di akhir hidup kita semua, jangan takut kepada kematian dan dosa. Saya menutup perkongsian ini dengan doa dan berkat dari Allah Bapa kita di Syurga. Semoga Tuhan memberkati kita semua.
"Bertolaklah dari dunia ini, hai saudara (saudari) dalam Kristus, atas nama Allah Bapa yang maha kuasa, yang menciptakan engkau; atas nama Yesus Kristus, Putera Allah yang hidup, yang menderita sengsara untuk engkau; atas nama Roh Kudus, yang dicurahkan atas dirimu; semoga pada hari ini engkau ditempatkan dalam ketenteraman dan memperoleh kediaman bersama Allah di dalam Sion yang suci, bersama Maria Perawan yang suci dan Bunda Allah, bersama santo Yosef dan bersama semua malaikat dan orang kudus Allah. ... Kembalilah kepada Penciptamu, yang telah mencipta engkau dari debu tanah. Apabila engkau berpisah dari kehidupan ini, semoga Maria bersama semua malaikat dan orang kudus datang menyongsong engkau. ... Engkau akan melihat Penebusmu dari muka ke muka..." (Doa penyerahan jiwa) Tuhan memilih kita untuk diselamatkan. Inilah kehidupan kita semua yang akan berakhir dengan kematian tetapi setelah itu hidup yang baru bersama dengan Yesus Kristus di Syurga selamanya (KGK 1020).
Jonathan Fabian Ginunggil,
Pelayan Atasan Tertinggi,
Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih
(Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels)
No comments:
Post a Comment