Popular Posts

Friday, October 31, 2025

Pelayanan kasih untuk keselamatan jiwa-jiwa dan ciri-ciri panggilan untuk penyembuhan dan pengusiran roh-roh jahat

Renungan singkat pembacaan daripada Injil Santo Markus 3: 20-30. 

Pelayanan kasih untuk keselamatan jiwa-jiwa dan ciri-ciri panggilan untuk penyembuhan dan pengusiran roh-roh jahat. 

Saudara dan saudari yang saya kasihi dalam nama Tuhan Yesus Kristus, 

Perkongsian saya ini adalah dalam pengunaan bahasa yang sederhana dan mudah difahami. Saya menggunakan cara ini agar mereka yang lemah dan tidak ada pelajaran tinggi dapat memahami pesan dan maksud apa yang tertulis disini. Saya juga macam kamurang, tiada pelajaran tinggi dan cuma tahu baca Alkitab Katolik sahaja, itupun kampungan style punya.   
Perkongsian saya disini hanyalah ditujukan kepada semua ahli yang ada di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels) sahaja. Oleh sebab itu saya menggalakkan anda semua untuk membaca dan meneruskan apa yang tertulis disini agar Misi dan Visi panggilan dan cara hidup kita ini membawa keselamatan kepada orang ramai. Saya mahu agar setiap kelompok atau kumpulan yang sedia ada mengambil masa untuk membaca dan mengkaji kembali kehidupan rohani masing-masing sambil membantu kepada semua ahli untuk menjelaskan perkongsian saya ini. Di harap juga agar semua Pelayan Atasan masing-masing dan juga Rakan Pembimbing Rohani untuk setiap kelompok dan kumpulan mengambil peranan dan tanggungjawab ini untuk membimbing dan membantu satu sama lain, agar kita semua dapat berjalan bersama dalam mencapai kesatuan dengan Allah Tritunggal Yang Maha Kudus, Bapa, Putera, dan Roh Kudus. Bagi umat katolik yang lain yang ingin membacanya, saya menasihatkan agar menggunakan bacaan rohani ini dengan sikap iman dan doa kerana tujuan hidup di dunia ini adalah percaya kepada keselamatan Tuhan Yesus Kristus, melalui GerejaNya yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik. 

Cara hidup dan pelayanan kita merupakan suatu tindakan kasih dan pengampunan. Kita perlu nilai kembali dan melihat sejauh mana komitmen dan hala tuju hidup kita masing-masing. Kita dipanggil dan dipilih oleh Tuhan untuk bekerjasama denganNya dalam kuasa Roh Kudus, agar keselamatan jiwa-jiwa dapat diselamatkan daripada dosa dan kematian. Kita perlu mencapai ketenangan batin yang sesungguhnya. Cara demikian dapat membantu dan berguna bagi umat Kristian untuk mencapai keheningan. Doa inilah yang saya maksudkan agar dapat memberi manfaat kepada semua ahli kita yang ada di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels). Doa itu merupakan perjumpaan dengan Tuhan yang berperibadi. Dan untuk mengalami dan ingin bersatu dengan Tuhan di dalam doa sedemikian, marilah kita membaca kembali petikan dari Injil Santo Markus 3: 20-30 ini. Jika kita membaca petikan dari Injil Santo Markus ini, ada kemungkinan kita membuat dua kesimpulan yang berbeza iaitu bahawa Yesus bukanlah pakar dari segi pengusiran roh jahat. Ini bererti GerejaNya itu bukanlah benar dan tetap salah kerana Yesus telah dikatakan kerasukan Beelzebul (ayat 20-22). Yang kedua adalah disebabkan Dia sebagai manusia, Yesus dikatakan tidak waras lagi. Ini boleh menimbulkan keraguan dan kekeliruan untuk mengakui GerejaNya yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik.  
 
Dan jika kita terus menerus mengatakan bahawa Yesus tidak waras lagi, dapatkah kita menempatkan diri kita lagi di dalam keselamatan dengan perjumpaan Tuhan yang berperibadi? Maksudnya, dapatkah kita sungguh-sungguh berdoa dan mengalami kehadiranNya? Kita jangan sesekali mengatakan bahawa sepanjang kita telah dibaptis dan melayani, kita sudah tahu bermacam-macam bentuk doa. Ini seakan-akan mahu mengalahkan doa Ekaristi dan mahu mengatasi peribadi seorang paderi katolik itu. Saya mahu menegur dan memberi nasihat disini, dan soalan saya hanya yang biasa-biasa sahaja bah, dapatkah kita semua yang hadir di Misa Kudus dan yang melayani di gereja dan komuniti menempatkan diri kita masing-masing di dalam keselamatan dengan perjumpaan Tuhan yang berperibadi? Jika paderi katolik itu hadir di Misa Kudus ataupun tidak, dapatkah kita menempatkan semula diri kita masing-masing di dalam peribadi Yesus yang menyelamatkan dan TabernakelNya? Sekarang dapatkah kita semua menilai dan mengetahui siapakah paderi katolik kita itu sebenarnya? Jika saya seorang Uskup Katolik, saya hanya memberikan satu jawapan sahaja disini iaitu, paderi katolik kita itu adalah manusia biasa tetapi oleh kerana Sakramen Tahbisan, setiap paderi katolik itu adalah “Alter Christus – In persona Christi” latin (Kristus yang lain) mengingatkan kita bahawa, meskipun Kristus sendiri hadir dalam GerejaNya, paderi katolik itu bertindak sebagai “Kristus yang lain” berdasarkan tahbisannya. Oleh itu Gereja Katolik memahami iman Kristian sebagai Alter Christus (Kristus yang lain) yang bertindak dalam persona Christi (dalam peribadi Kristus). Kerana Yesus Kristus adalah seorang lelaki, dan orang-orang yang bertindak dalam persona Christi dan merupakan Alter Christus haruslah lelaki sebagaimana Kristus adalah lelaki. Selain itu, Gereja kita terikat kepada teladan Yesus Kristus sendiri yang hanya memilih lelaki untuk pelayanan ini. Saya menjelaskan keperibadian paderi katolik itu kerana ia melibatkan doa-doa kita setiap hari di Ekaristi serta pembacaan daripada Injil Santo Markus ini. (Injil Santo Yohanes 20: 22-23, Injil Santo Lukas 10: 16)

Untuk memahami pembacaan Injil Santo Markus ini, saya hanya menjelaskan tentang karisma dan godaan yang perlu kita tahu agar setiap kelompok dan kumpulan yang sedia ada di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels) dapat melangkah lebih berani lagi untuk meneruskan Misi dan Visi kita tanpa rasa takut terhadap roh-roh kepalsuan dan dosa-dosa manusia (Injil Santo Markus 3: 20-30) di dunia ini. Kita lihat sendiri bagaimana ahli-ahli Taurat yang datang dari Yerusalem mengatakan bahawa Yesus kerasukan Beelzebul dan dengan penghulu setan Dia mengusir setan. Percakapan seperti ini membawa maksud yang berbeza dari segi rohani dan bukannya keselamatan. Ayat “kerasukan roh jahat” ini menjelaskan keadaan pemikiran dan pendapat manusia tentang kerja pelayanan Yesus. Dan dengan mengatakan bahawa apa yang dikerjakan Roh Kudus dikerjakan oleh roh jahat, manusia itu sebenarnya menolak terang kasih karunia Allah dan pengampunan dosa yang diberi oleh kasih karunia ini. Sikap itu dengan sendirinya menempatkan orang di luar keselamatan. Tetapi kasih karunia Allah masih juga dapat mengubah sikap itu, sehingga orang kembali dapat menerima kasih karunia itu. Saya akan menjelaskan keadaan kita sebagai manusia yang mudah tergoda serta bagaimana kita harus menanggapi pembacaan daripada Injil Santo Markus ini. Kita akan lihat bagaimana karya Roh Kudus itu sebenarnya dan bagaimana godaan diri sendiri serta kecenderungan yang berasal daripada setan.  

Kita yang dipanggil di dalam pelayanan penyembuhan dan pengusiran roh-roh jahat perlu memahami karisma-karisma yang ada pada diri kita. Ini amat penting bagi seorang pelayan kerana karisma adalah anugerah-anugerah rahmat Roh Kudus, untuk melayani dan semuanya itu diberikan untuk pembangunan Gereja di dunia ini, untuk kesejahteraan manusia dan untuk keperluan dunia masa kini. Misal kata kita juga dikatakan kurang waras atau gila, rujuklah kembali makna dan erti karisma disini. Ingatlah karisma-karisma daripada Tuhan harus kita terima dengan rasa syukur kerana karisma-karisma yang kita perolehi itu adalah kekayaan rahmat yang mengagumkan untuk daya hidup apostolik dan untuk kekudusan seluruh Tubuh Kristus. Yang perlu kita sedari disini adalah karisma dan anugerah tersebut adalah sesungguhnya berasal daripada Roh Kudus. Dan anugerah-anugerah itu harus dilaksanakan dalam cinta yang merupakan ukuran karisma yang sebenarnya. Ini menjelaskan identiti kita sebagai anak-anak Allah Bapa dan juga sebagai seorang pelayan dan gembala yang baik (1 Korintus 13). Oleh itu saya mahu semua ahli yang ada di setiap kelompok dan kumpulan masing-masing hari ini untuk menguji karisma-karisma tersebut. Sentiasa memperingatkan kepada diri masing-masing bahawa tidak ada satu karisma membebaskan dari kewajiban untuk menghormati gembala-gembala Gereja dan untuk mentaati mereka. Seperti yang telah dijelaskan bahawa “terutama mereka itulah yang berfungsi, bukan untuk memadamkan Roh, melainkan untuk menguji segalanya dan mempertahankan apa yang baik” (LG 12). Semua karisma walaupun banyak perbezaan bertujuan untuk saling melengkapi, harus bekerjasama sehingga berguna bagi kepentingan bersama (1 Korintus 12:7).  
Oleh itu bagi kita semua yang merasakan terpanggil di dalam pelayanan penyembuhan dan pengusiran roh-roh jahat, bacalah kembali petikan daripada Injil Santo Markus ini sebagai doa peribadi dan renungan. Ini bertujuan agar kita tidak mudah lupa bahawa godaan di dalam doa itu sering terjadi. Kita lihat sendiri bagaimana Yesus dikatakan kurang waras. Kita sebagai manusia biasa boleh juga dikatakan kurang waras kerana ketidakpedulian kita terhadap kesukaran di dalam doa. Haruslah kita mengakui keterbatasan kita di dalam pelayanan. Tetapi sebagai pengikut Tuhan Yesus Kristus, doa adalah anugerah rahmat dan perlunya jawapan ketegasan daripada pihak kita. 

Saya menggunakan “perjuangan rohani” kerana pendoa-pendoa di dalam Perjanjian Lama sebelum Kristus, demikian juga dengan Bunda Maria dan para Orang Kudus serta Yesus sendiri mengajarkan kita bahawa berdoa bererti berjuang. Kita berjuang bererti kita melawan diri kita sendiri dan melawan tipu muslihat penggoda yang melakukan segala-galanya untuk mencegah manusia dari doa dan juga daripada persatuan dengan Allah. Kita lihat sendiri bagaimana Yesus dikatakan kurang waras. Ada kemungkinan kita juga mulai memikirkan hal yang serupa sehingga tidak mampu lagi untuk berjuang di dalam doa. Hal-hal seperti ini kita boleh nilai sendiri sebab dan puncanya serta siapakah yang sentiasa menghalang kita untuk datang kepada Tuhan. Nasihat dan pandangan peribadi saya adalah, siapa di antara kita yang tidak selalu mahu bertindak dalam semangat Kristus, mereka juga tidak boleh terbiasa untuk berdoa dalam namaNya. Dapatkah kita menempatkan semula pelayanan kasih kita terhadap semua orang? Tentang karisma dan godaan yang saya jelaskan tadi, boleh jadi timbul keraguan untuk berdoa dalam nama Yesus. Ini kerana terdapatnya kekeliruan mengenai doa yang kita temukan di dalam diri kita sendiri dan di sekitar kita. Andaikata kita juga dikatakan kurang waras dan tidak sempurna, dan kita mulai terasa oleh percakapan dan ejekan orang lain, ada kemungkinan kita ini mulai tergoda dan timbulnya keberatan terhadap doa katolik. Memang sebagai manusia yang mulai tertarik kepada doa, kita pada mulanya bersemangat di dalam pelayanan ini. Tetapi yang perlu saya peringatkan disini adalah keadaan Yesus yang dikatakan kurang waras itu. Jika di zaman kita ini, peristiwa itu merupakan ejekan dan pendapat orang lain terhadap kita. Kemudian jika kita tidak berakar di dalam Yesus Kristus, kita mulai mengalami kegagalan di dalam doa. Timbullah rasa tawar hati kerana diejek dan dihina, rasa sedih mulai menggangu hidup kita sehingga merasakan tidak boleh memberikan cara hidup dan pelayanan kita segala-galanya kepada Allah. Perhatikan keadaan peristiwa kekosongan batin dan psikologis ini. Ini menurut saya disebabkan kita mulai cepat tawar hati. Dan mereka yang mencari Tuhan di dalam doa sangat cepat tawar hati, kerana mereka tidak tahu bahawa doa juga datang dari Roh Kudus dan bukan hanya dari mereka sendiri. 
  
Marilah kita kembali untuk membaca kisah Nabi Elia di Perjanjian Lama. Allah yang menyatakan diri di gunung Horeb itu menunjukkan bahawa Allah juga berkenan kepada Nabi Elia sehingga berfirman kepada dia. Kehadiran Allah itu ternyata dalam keadaan yang tenang dan damai. Kita lihat disini bagaimana Allah yang berfirman itu sebenarnya membimbing Nabi Elia agar mengikuti tunjuk ajarNya. “Angin sepoi-sepoi” ini menjelaskan bahawa Nabi Elia berhasil untuk mendengarkan suara Tuhan. Ini bukannya godaan yang membawa kepada kegelisahan dan rasa takut. Dan suara senyap dan lembut itu adalah suara Tuhan. Nabi Elia mendengar suara Tuhan yang menyembuhkan baginya, hanya setelah dia mendengar “suara senyap dan lembut” tadi. Tuhan berbicara dalam keheningan dan hanya orang hening di dalam hati dapat mendengar apa yang dikatakan oleh Tuhan. Pengalaman seperti ini mengajak kepada kita semua untuk lebih bersungguh-sungguh di dalam keheningan doa. Bila berasal dari Allah, hal itu akan menghasilkan buah dalam roh pada saat diberikan. Buah inilah yang penting. Hayatilah kembali Nabi Elia dan Allah yang menyatakan diriNya di gunung Horeb. Tetapi jika datangnya daripada setan maka akan menimbulkan efek-efek lain seperti kegelisahan, kekeringan, kebanggaan yang sia-sia dan rasa sombong (1 Raja 19: 12-13)

Semoga dengan penjelasan dan perkongsian ini, kita semua dapat memahami apakah pelayanan kita itu bersesuaian dengan karisma-karisma yang ada pada diri kita. Nasihat saya janganlah melebih-lebih di dalam pelayanan. Cukuplah dengan karisma dan karunia yang ada pada diri kita. Lebih baik menjadi seorang yang rendah hati dan pendoa daripada menjadi seorang yang sombong dan menonjolkan diri. Jika ini terjadi anda semua harus bertegas dan mengeluarkan para ahli yang bersikap sedemikian daripada kelompok atau kumpulan yang sedia ada. Turutilah nasihat saya ini kerana setan-setan kecil ini pandai menyamar dan berlakon sepanjang masa. Ciri-ciri orang seperti ini tidak sesuai dengan cara hidup dan pelayanan kita. Ini kerana tujuan mereka hanyalah mencari kenikmatan sementara dan bukannya untuk membangun Kerajaan Allah di dunia ini. Jika setan-setan kecil ini dibiarkan, kesatuan Gereja Kristus akan mudah terpecah belah. Inilah tugas dan tanggungjawab anda semua. Saya ingin menegaskan agar pergunakanlah karunia-karunia Roh Kudus yang ada pada diri kita. Cubalah memahami terlebih dahulu mengapa anda semua mulai tertarik kepada hal-hal rohani dan yang suci ini. Beginilah keadaannya apabila kita mulai mahu dan tertarik kepada cara hidup dan panggilan disini. Jika masih terdapatnya tanda-tanda ketidakpastian ataupun hanya sekadar ingin bersendirian, rujuklah kembali penjelasan tentang Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels).  

Jonathan Fabian Ginunggil,
Pelayan Atasan Tertinggi,
Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels)

No comments:

Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Bab 20

  Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Abraham dan Abimelekh Bab 20 Kej 20:1 Lalu Abraham berangkat dari situ ke Tanah Negeb dan ia...