Doa seorang Katolik dan pengertian tentang keselamatan jiwa kita.
Renungan singkat pembacaan dari Injil Santo Lukas 18: 1-14.
Saudara dan saudari yang saya kasihi dalam nama Tuhan Yesus
Kristus,
Perkongsian saya ini adalah dalam pengunaan bahasa yang
sederhana dan mudah difahami. Saya menggunakan cara ini agar mereka yang lemah
dan tidak ada pelajaran tinggi dapat memahami pesan dan maksud apa yang
tertulis disini. Saya juga macam kamurang, tiada pelajaran tinggi dan cuma tahu
baca Alkitab Katolik sahaja, itupun kampungan style punya.
Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana melalui
pembacaan Injil Santo Lukas ini, saya mendapati sesuatu yang baru bahawa ada
baiknya saya melakukan apa sebenarnya ajaran Yesus Kristus di dalam doa iaitu
supaya saya benar-benar bertobat dan percaya kepadaNya, tetapi juga supaya saya
harus berjaga-jaga di dalam doa. Inilah penantian dan harapan saya di dalam doa
dan renungan bagi persiapan saya secara peribadi untuk menantikan kedatangan Tuhan
apabila saatnya sudah tiba. Saya mengatakan demikian kerana Sabda Yesus ini
mengingatkan saya untuk terus berdoa dan menantikan dengan penuh perhatian
bahawa Dia sebagai Tuhan dan Allah yang benar akan datang, sambil mengingatkan
kedatangan pertamaNya dalam kerendahan daging dan berharap akan kedatanganNya
yang kedua dalam kemuliaan (Injil Santo
Markus 13, Injil Santo Lukas 21: 34-36). Santo Lukas telah memberikan
kepada kita tiga perumpamaan yang penting mengenai doa iaitu; yang pertama
adalah mengenai sahabat yang tidak tahu malu (Injil Santo Lukas 11:5-13) dan
meminta supaya berdoa dengan mendesak: "Ketuklah,
maka pintu akan dibukakan bagimu". Bapa di Surga akan memberikan
kepada orang yang berdoa demikian, apa yang ia perlukan terutama daripada Roh
Kudus, ringkasan semua anugerah yang baik. Yang kedua adalah tentang janda yang
selalu mendesak (Injil Santo Lukas 18:1-8). Perumpaman ini mengarah kepada sifat doa yang lain iaitu berdoa tanpa
henti-hentinya dalam kesabaran beriman. "Tetapi
apakah Anak Manusia masih menemukan iman di bumi ini kalau Ia datang?"
Perumpamaan ketiga tentang orang Farisi dan pemungut cukai (Injil Santo Lukas 18:9-14)
iaitu menuntut kerendahan hati sewaktu berdoa. "Allah, kasihanilah aku orang berdosa". Gereja Katolik
selalu menggunakan doa ini sewaktu Misa Kudus.
Daripada pembacaan ini, saya mulai menyedari bahawa
barangsiapa yang sungguh-sungguh berdoa di dalam persekutuan dengan Yesus
Kristus pasti tidak akan masuk ke dalam percobaan (Injil Santo Lukas 22: 40. 46). Disinilah saya ingin mengajak
kepada anda semua bahawa apabila rasa bosan dan malas itu mulai hadir di dalam
kehidupan rohani kita, bacalah kembali pembacaan daripada petikan Injil Santo
Lukas ini. Lebih baik lagi kalau kita kembali berdoa seperti anak-anak kecil
yang selalu meminta itu dan ini sambil mengharapkan belaskasihan daripada Allah
Bapa. Jika kita tersilap untuk berdoa dan kemudian mendapati kita dalam keadaan
sendirian tanpa kehadiran Tuhan, itu bererti kita ada kesempatan untuk berubah
dan kembali kepada Tuhan. Sabda Yesus ini iaitu, “Akan tetapi, jika anak manusia itu datang, adakah Ia mendapati iman di
bumi?” (Injil Santo Lukas 18: 8)
merupakan panggilan umum kita untuk berdoa, panggilan kita untuk ikut serta
berdoa di dalam gereja, dan pangggilan kita untuk ikut serta di dalam doa Misi
dan Visi di seluruh dunia ini. Inilah yang perlu kita lakukan dan kembali untuk
memahami apakah itu doa katolik kerana Tuhan memanggil setiap makhluk dari
ketidakadaan ke dalam keberadaan. Jangan lagi kita menganggap bahawa manusia
itu sudah kehilangan keserupaannya dengan Allah kerana dosa-dosa. Tetapi
ingatlah kembali bahawa manusia itu tetap diciptakan menurut gambar dan rupa
Allah (Kejadian 1: 26-27). Dan
cerita perumpamaan mengenai janda yang selalu mendesak itu adalah bertujuan
untuk mengingatkan kepada kita semua agar sentiasa berdoa tanpa henti-hentinya
di dalam kesabaran sebagai umat beriman. Adakah kita semua masih ingat homili
para Paderi Katolik kita sewaktu hadir di Misa Kudus tentang doa dan Sabda
Yesus ini? Di dalam petikan daripada Injil Santo Lukas ini, adanya doa yang
boleh kita lakukan. Dan doa itu adalah seperti ini, “Ya Allah, kasihanilah aku orang berdosa ini.” (ayat 13).
Saya ingin menjelaskan kembali apakah doa Yesus ini. Yang perlu
kita lakukan adalah duduklah di tempat yang sunyi dan tenang. Tundukkan kepala,
pejamkan mata, bernafaslah tenang, dan bayangkan bahawa anda semua melihat hati
anda semua masing-masing. Kumpulkan segala fikiran dari kepala sampai ke hati.
Tariklah nafas dan berkatalah; “Tuhan
Yesus Kristus, kasihanilah aku” dengan ucapan bibir yang lembut atau dalam
batin. Cubalah mengusir segala fikiran, bersikaplah tenang dan sabar, dan
ulangilah ayat ini sebanyak engkau dapat. Ini boleh dilakukan setiap hari. Apa yang
saya katakan disini adalah tentang doa Yesus. Dan setelah kita telah
melakukannya dan seakan-akan masih belum dapat untuk menghayati doa Yesus ini,
langkah seterusnya adalah untuk memeriksa dari manakah punca dan sebabnya kita
tidak dapat mencapainya. Rupanya kerendahan hatimu masih perlu diuji.
Barangkali masih terlalu awal bagimu untuk diizinkan masuk ke tahap yang paling
tinggi. Ada bahayanya anda sekalian jatuh ke dalam bahaya keserakahan / ketamakan rohani. Tetapi
jangan abaikan perasaan tersebut. Akan tiba masanya kita dibangunkan sendiri
oleh doa Yesus itu yang kita ulangi dan usahakan. Sebagai contoh kita
mengulangi doa Yesus itu pada mulanya sebanyak 50 kali, dan seterusnya mencapai
100 kali, dan kemudian sebanyak 300 kali, dan kemudian di tambah sebanyak 500,
dan kemudian pada angka pilihan kita seterusnya. Seluruh keinginan terpusatkan
kepada satu hal iaitu mendoakan doa Yesus. Apabila sampainya pengalaman
tersebut seperti yang saya telah jelaskan, anda semua bolehlah berhenti
melanjutkan doa Yesus tersebut, yang telah diulangi sejak dari permulaannya. Dan
daripada hasilnya, bersyukurlah kepada Allah sepenuh hati sebab Dia telah
memberi anda semua keinginan dan anugerah doa. Anda semua telah menerimanya
berkat usaha daripada pengulangan ayat doa Yesus itu.
Inilah yang kita akan mulai sedar kerana doa Yesus tersebut
telah kita lakukan secara teratur. Walaupun kita tidak tahu bagaimana kejadian
itu harus terjadi, kita akan menyedari betapa indah kemungkinan yang diberikan
Allah dalam kasihNya kepada kita sebagai manusia. Anda semua telah mengalami
betapa mungkin mukjizat-mukjizat terjadi, bahkan pada seseorang yang terpisah
dari rahmat, yang masih berdosa dan belum dimurnikan dari hawa nafsunya. Betapa
mulia jadinya, betapa sucinya dan mengharukan, jika Allah berkenan memberi
anugerah doa yang berdikari, aktif dan rohani, jika Allah membersihkan mereka
semua dari segala kelekatan terhadap hal-hal indrawi (deria). Ini sungguh keadaan yang
tidak boleh dilukiskan ataupun digambarkan, dan barangsiapa mencapai tahap
samadi mistik ini (renungan mistik), di dunia ini sudah menikmati keadaan kegembiraan Syurgawi.
Inilah kebahagiaan yang disediakan bagi orang yang mencari Allah dengan hati
sederhana dan penuh kasih. Oleh itu tetaplah setia dan teruskan doa Yesus ini. Doa
ini terdapat di dalam Gereja Katolik kita. Kemudian setelah kita mampu
menghayatinya, teruskanlah jalan doa Yesus ini untuk beberapa kali sahaja
menurut kemampuan atau kehendakmu. Selama anda semua berjaga-jaga, gunakanlah
semua waktu yang ada untuk anda semua menyerukan nama suci Yesus tanpa
menghintung berapa kali. Tundukkan dirimu dengan rendah hati kepada bantuan
Tuhan. Saya percaya bahawa Allah sekarang tidak akan meninggalkan kita semua
melainkan akan menunjukkan kepada diri kita masing-masing jalan yang tepat dan
selamat.
Marilah kita belajar kembali apa yang telah dikatakan oleh
Santa Teresa dari Avila ini. Kata- kata Santa Teresa dari Avila, “Maka saya akan mengatakan kepada kalian
bahawa Allah kadang-kadang berkenan memberi anugerah yang besar kepada orang-orang
yang berada dalam keadaan dosa (dan mengangkat mereka kepada kontemplasi
sempurna) agar dengan cara ini Dia dapat merenggut mereka dari cengkeraman
iblis. Saya rasa perlu di mengerti bahawa orang-orang seperti itu tidak berada
dalam dosa berat pada waktu tersebut. Mereka mungkin berada dalam keadaan dosa,
namun Tuhan memperkenankan mereka melihat vision, bahkan vision yang sangat
baik untuk menarik mereka kembali kepadaNya. Tetapi saya tidak percaya bahawa
Dia yang memberikan mereka kontemplasi. Kerana kontemplasi adalah persatuan
Ilahi, dimana Tuhan merasa senang di dalam jiwa dan jiwa senang di dalam Dia
dan tidak mungkin bagi Sang Kemurnian Syurga untuk merasa senang di dalam jiwa
yang tidak bersih. Kesukaan para Malaikat pun tidak mungkin senang berada di
dalam apa yang bukan milikNya sendiri. Dan kita tahu bahawa dengan melakukan
dosa berat, jiwa menjadi milik setan dan setan merasa senang di dalam dia
kerana jiwa menyenangkan setan, sebagaimana kita ketahui kesukaan setan, bahkan
juga dalam hidup ini, adalah penyeksaan terus menerus.” (Santa Teresa dari Avila). Kemudian
marilah kita lanjutkan kembali pembacaan kita ini sambil membaca petikan
daripada Injil Santo Lukas tersebut. Saya harap agar kita semua mendapat tahu
sebab dan puncanya mengapa kita kurang maju di dalam doa berdasarkan dari Injil
Santo Lukas ini. Santo Alfonsus Maria de Liguori telah mengatakan; “Ingatlah akan jumlah sekian banyak orang,
yang hidupnya rosak dan menjadi rosak akhlak (rosak secara moral), jauh dari Sakramen-sakramen, jauh dari
contoh-contoh hidup yang baik, dan jauh dari erti dan maksudnya keselamatan yang
terdapat dalam iman Kristen. Semua ini telah dikaruniakan Allah kepadamu, tanpa
jasa apa pun dari pihakmu, dan bahkan dalam pengetahuanNya yang abadi telah
diketahuiNya kegagalanmu dalam mencintaiNya sepenuhnya. Kerana ketika dalam
perencanaanNya untuk menciptakan engkau dan mengaruniakan semua rahmat itu ke
atasmu, Allah sudah lebih dahulu tahu bahawa engkau akan sering gagal membalas
cintakasihNya sebagai mestinya.” (Santo
Alfonsus Maria de Liguori).
Sekarang marilah kita bezakan pengalaman rohani kita dari
dahulu sampailah sekarang. Adakah terdapatnya perbezaan atau kekeliruan di
dalam doa? Apakah doa batin itu sama dengan doa kontemplasi? Berdasarkan
pengalaman, saya secara jujur harus mengatakan bahawa keduanya adalah sama. Di
dalam doa kontemplasi, seperti yang dihayati oleh Orang-orang Kudus, kita mahu
menyeberangi batas kata-kata dan fikiran untuk mencapai realiti yang bersifat
rohani, iaitu Allah sendiri. Dengan demikian, doa ini mengantar menembusi
kata-kata (doa lisan) dan doa batas fikiran (doa meditasi) kepada suatu realiti
yang sungguh rohani. Doa kontemplasi ini boleh dikatakan sebagai “doa hati”, “doa batin”, “doa perhatian
penuh kasih”, “doa menyedari kehadiran Allah di mana-mana.” Di dalam buku “Jalan
Kesempurnaan”, Santa Teresa dari Avila berkata bahawa Kitab Suci menjadi sumber
pendukung dalam doa dan merupakan satu-satunya buku yang dipakainya dalam
berdoa. Kalau kita mahu mengenal Yesus secara mendalam, mencintaiNya dengan
sungguh-sungguh, kita harus merenungkan hidupNya, juga Sabda-sabdaNya yang
terdapat di dalam Injil-injil pada siang dan malam. Sekarang marilah kita
kembali untuk membaca Injil Santo Lukas ini, adakah kita sudah menemukan cara
hidup kita yang berdosa, cara kita berdoa dan apakah doa kita itu merupakan
anugerah daripada Tuhan? Saya ingin mengingatkan kepada semua ahli yang ada di
dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine
Choirs of Angels), jika kamu ditinggalkan oleh rahmat Tuhan, ingatlah kembali
baik-baik pada waktu anda semua telah menerima rahmat. Kemajuan hidup rohani
itu tidak hanya terletak kepada sikap tenteram dan rajin sewaktu orang
dikaruniai rahmat penghiburan, tetapi juga terletak pada sikap rendah hati,
sabar dan matiraga pada waktu orang menderita tiadanya rahmat tersebut,
sehingga kebiasaan berdoa dan melakukan latihan-latihan lainnya tetap dengan
rajin diindahkan. Pada saat-saat tiadanya rahmat tersebut, janganlah anda semua
lupa untuk menyatakan keinsyafan dan pertobatan setiap hari, dan janganlah
disebabkan merasa hampa dan takut di dalam doa, anda semua mulai melalaikan
diri masing-masing. Sikap demikian boleh membawa kita merasa bosan dan malas
untuk setia di dalam doa.
Itulah sebabnya saya sungguh-sungguh berharap agar kita semua
sedar bahawa ada baiknya kita meninggalkan cara hidup doa yang seakan-akan mahu
menjadi seperti orang Farisi di dalam doa Ekaristi, doa komuniti dan doa
peribadi. Walaupun kita mengatakan bahawa kita bukanlah seorang perompak, bukan
orang jahat, bukan penzinah dan bukan juga seperti pemungut cukai, tetapi
jikalau malas dan bosan itu wujud di dalam hidup rohani kita, adakah kita pasti
diri kita ini dibenarkan oleh Allah? Walaupun kehadiran kita sewaktu berada di
Misa kudus ataupun doa komuniti dan keluarga, adakah kehadiran kita telah
ditinggikan oleh Tuhan atau direndahkan oleh Tuhan? Masa dan waktu yang Allah
telah berikan kepada kita untuk hidup pada hari ini dan sampailah kita telah
berumur tua menjelaskan kesabaran Tuhan terhadap kita semua. Saya tidak tahu
bagaimana untuk menjelaskan kesabaran dan cintakasihTuhan itu. Tetapi melalui
petikan dari Injil Santo Lukas ini, telah dijelaskan bahawa ada kemungkinan
cara hidup dan pelayanan kita itu menyerupai seakan-akan orang Farisi dan
kadang-kadang berpura-pura mahu mendapat perhatian kerana kemampuan kita untuk
berpuasa dan memberikan banyak sumbangan. Janganlah mencari kesalahan orang
lain tetapi marilah kita berusaha untuk tetap merendahkan diri dan bersikap
rendah hati sambil memohon pengampunan dan belaskasihan daripada Tuhan (Injil Santo Lukas 18: 13-14).
No comments:
Post a Comment