Pembacaan dan renungan singkat:
Matius 5: 1 – 12.
Renungan singkat hanya untuk di kalangan umat
Gereja Roman Katolik sahaja.
Untuk renungan yang singkat ini, saya menggunakan bahasa yang sederhana dan kampungan style punya (seperti perkongsian saya sebelum ini) agar dapat membantu kepada golongan bagi mereka yang lemah dan tidak terpelajar untuk memahani pesan Tuhan melalui firman-Nya yang kita baca, renungkan dan doakan setiap hari khususnya pada hari ini di Misa Kudus. Perkongsian ini juga ditujukan kepada pengganti Pelayan Atasan Tertinggi, Pelayan Atasan serta Rakan Pembimbing Rohani keseluruhannya di dalam Yesus, Maria, Yusuf Pelayanan Kasih (Blessed and Saints and the Nine Choirs of Angels). Turutilah jalan Tuhan di sini. Kita boleh kongsikan renungan dan bacaan ini kepada sesiapa sahaja termasuklah untuk pertemuan setiap kumpulan atau kelompok yang sedia ada. Saya sebagai Pelayan Atasan Tertinggi memberi kebenaran untuk semua ahli (Dengan ini saya mengizinkan dan membenarkan semua bacaan renungan ini dikongsikan serta merta).
Saudara dan saudari yang saya
kasihi dalam nama Tuhan Yesus Kristus,
Injil Santo Matius pada hari ini merupakan ucapan bahagia
dari Yesus Kristus dan juga pemakluman mengenai rencana Kerajaan Syurga kepada
rakyat (umat manusia) dan murid dalam khotbah di bukit (Matius 5 – 7). Sabda bahagia
Yesus ini merupakan teladan untuk kita semua bagaimana sepatutnya kita harus
hidup di dalam kesempuraan dan kebajikan seperti yang dilakukan oleh Para Orang
kudus kita di Syurga, walaupun di antara mereka ini lemah dan berdosa, tetapi
setia dan percaya kepada ajaran Tuhan Yesus Kristus. Itulah sebabnya mereka ini
digelar sebagai Para Martir untuk Gereja Katolik kita. Kata-kata Yesus ini
“berbahagialah” mengatakan bahawa orang miskin mengambil bahagian dalam
kebahagiaan itu seperti yang telah dikatakan dari Yesus ini. Yang “berbahagia”
juga digolongkan kepada orang yang malang dan terkutuk di antara kita semua. Sebelum
kita melanjutkan renungan kita disini, marilah kita berdoa bersama Santo
Matius, Rasul dan penulis Injil ini, agar kita mampu memahami pesan Yesus
tentang ucapan berbahagia ini secara peribadi. Mintalah kebijaksaan dan
pengetahuan dari Allah Bapa kita di Syurga.
Kerajaan Allah
(Syurga) yang harus menegakkan Pemerintahan Allah yang berdaulat di
tengah-tengah manusia yang akhirnya mengakui Allah sebagai Raja, mengabdi dan
mencintainya itu, sudah dinubuatkan di dalam perjanjian lama. Maka Santo Matius
yang menulis di tengah-tengah orang yahudi dan untuk orang-orang yahudi sangat
suka memperlihatkan bahawa dalam diri Yesus serta karyaNya Kitab Suci digenapi.
Dan jika dalam diri Yesus serta karya penyelamatanNya sudah digenapi, maka kita
sebagai pengikutNya haruslah meneruskan kehidupan kita di dunia ini sesuai
dengan ucapan bahagia Yesus ini (Matius 5: 1 – 12). Baik yang miskin ataupun yang
kaya, baik yang muda mahupun yang tua, sebenarnya telah disebut berbahagia
kerana layak menerima berkat Kerajaan Syurga ini. Oleh yang demikian, adalah
baiknya kita bertanya pada diri kita masing-masing, adakah kita sudah
digolongkan sebagai orang yang berbahagia ini? Sebagai seorang pengikut Tuhan
Yesus Kristus, adakah kita benar-benar mengikuti ucapan bahagia Yesus Kristus
ini? Jika perlu ada baiknya jalan Tuhan ini kita bawa di dalam kehidupan kita
seterusnya, agar Yesus lah yang berkarya di fikiran, perkataan dan perbuatan
kita.
Jangan terlalu
mengikut kehendak kita sendiri sehingga melupakan seketika bahawa, cara dan doa
kita pada hari menghalang kita semua untuk melihat kebaikan Tuhan Yesus Kristus
di dalam Injil Santo Matius ini (Matius 5: 1 – 12). Jika anda terasa terbeban
dan sulit untuk berdoa, ambillah masa ini untuk bersama dengan Yesus di dalam
doa batin dan keheningan. Ada baiknya kita menyediakan masa ini untuk Tuhan. Adakah
damai penghiburan dan kasih Allah hadir di dalam hati kita semua? Adakah kita
membawa orang lain untuk merasakan kasih Allah khususnya kepada saudara dan
saudari kita yang sedang berdukacita? Bermurah hatilah kepada mereka yang haus
dan lapar. Hanya dengan cara yang demikian kita mampu membawa kebenaran dan
penghiburan dari Tuhan. Dengan kemurahan tersebut, kita dikatakan berbahagia
oleh Yesus kerana memiliki hati yang suci dan apabila masanya sudah tiba, kita
akan melihat Allah pencipta kita. Bawalah damai dan kasih Yesus ini di dalam
pelayanan kita. Orang lain akan mengerti bahawa kitalah anak-anak Allah. Jika
panggilan hidup kita selama ini membawa kepada kesulitan dan penganiayaan,
dicela dan dianiaya, difitnah segala yang jahat, maka bersukacitalah dan
bergembiralah kerana Tuhan tidak akan membiarkan kita, melainkan memberikan upah
yang besar di Syurga. Inilah ucapan bahagia Yesus untuk kita semua (Matius 5: 1
– 12). Saya percaya dan yakin bahawa pengalaman kehidupan kesempurnaan dan
kebajikan Para Orang Kudus dan Martir kita ini berkait rapat dengan ucapan
bahagia dari Yesus ini. Santo Gregorius telah mengatakan, “Tujuan kehidupan yang berkebajikan ialah menjadi serupa dengan Allah”
(Santo Gregorius dari Nisa, beat 1).
Berilah masa untuk
kembali membaca Injil Santo Matius ini di mana sahaja kita berada. Di dalam doa
dan renungan kita setiap hari, hayatilah kembali kehidupan kesempurnaan yang
terdapat di dalam ucapan bahagia ini. Para Orang Kudus kita di Syurga berusaha
melaksanakan apa yang dikatakan oleh Yesus ini. Sabda bahagia ini merupakan
kehidupan Yesus sendiri dan inilah pesan dari Injil Santo Matius ini. Yang miskin
di hadapan Allah adalah yang miskin di dalam roh. Jika kita memiliki semangat
kemiskinan di dalam roh ini, kita juga mampu mengenal pasti apakah sebenarnya bentuk
dan pengaruh godaan dari duniawi ini serta menolak sebarang kemungkinan
kehadiran godaan kedagingan di dalam diri kita masing-masing. Ini perlu kita
ketahui agar tidak mudah terikat kepada barang-barang duniawi yang hanya
bersifat sementara sahaja. Yesus Kristus sendiri memberi kita teladan
kemiskinan (Lukas 2: 7, Matius 8: 20) dan mahu agar kita mencontohi jalan kerendahan
hatiNya sebagai seorang pelayan yang rendah hati (Yohanes 13: 12, Matius 11:
29). Yesus juga mahu agar kita yang mengikuti jalan kesempuraan ini, mencontohi
Dia yang telah menyamakan diriNya dengan orang kecil dan malang (Matius 25:
45). Yesus mahu agar kita mengerti bahawa “barangsiapa menyambut seorang anak
kecil ini dalam nama-Ku, ia menyambut Aku” (Matius 18: 5).
Disediakan dan dikemaskini
oleh:
Jonathan Fabian Ginunggil,
Penampang, Sabah Malaysia.
No comments:
Post a Comment