Popular Posts

Monday, October 21, 2024

Pembacaan dan renungan singkat: Markus 10: 46 – 52

Pembacaan dan renungan singkat:

Markus 10: 46 – 52

Renungan singkat hanya untuk di kalangan umat Gereja Roman Katolik sahaja.

Untuk renungan yang singkat ini, saya menggunakan bahasa yang sederhana dan kampungan style punya (seperti perkongsian saya sebelum ini) agar dapat membantu kepada golongan bagi mereka yang lemah dan tidak terpelajar untuk memahani pesan Tuhan melalui firman-Nya yang kita baca, renungkan dan doakan setiap hari khususnya pada hari ini di Misa Kudus.

Saudara dan saudari yang saya kasihi dalam nama Tuhan Yesus Kristus,

            Tuhan memanggil kita dengan pelbagai cara di dalam kehidupan kita masing-masing. Panggilan dari Tuhan tersebut berkait rapat dengan keputusan yang kita pilih atas kehendak dan kebebasan pilihan kita. Jika sebelum ini kita masih keliru apa tujuan sebenarnya kita hidup di dunia ini, marilah kita kembali kepada Injil Santo Markus pada hari ini. Belajarlah untuk merendahkan diri di hadapan Tuhan kerana kita semua tidak tahu bila masanya kita akan kembali ke Syurga. Berharaplah kepada Tuhan. Kita semua mulai lemah dan jatuh berdosa apabila penderitaan muncul di tengah-tengah kita. Ikutilah jalan Tuhan ini kerana dengan kesungguhan untuk bersaksi, Tuhan akan menyertai kita walaupun terpaksa berhadapan bermacam-macam rintangan hidup seperti yang di alami oleh Nabi Yeremia. Sebelum kita lanjutkan renungan disini, saya mengajak anda semua untuk berdoa agar pesan Santo Markus, Rasul dan pengarang Injil Tuhan ini, kita semua memperolehi kebijaksaan dan pengetahuan dari kasih Allah.

            Tuhan Yesus Kristus memanggil Bartimeus anak Timeus dengan cara mendengarkan permintaan orang lain (Markus 10: 49). Apa yang terjadi di antara mereka berdua adalah pertanyaan Yesus Kristus kepada seorang pengemis buta ini iaitu Bartimeus anak Timeus, “Apa yang kau kehendaki supaya Aku perbuat bagimu?” (Markus 10: 51). Bartimeus anak Timeus ini hanya mahu melihat kembali ketika didengarnya bahawa itu adalah Yesus orang Nazareth. Dan dia hanya tahu mengatakan, “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!” (Markus 10: 47). Melalui relasi hubungan kasih ini di antara Yesus dan Bartimeus, kita boleh mengimani bahawa cara Yesus untuk masuk ke dalam kehidupan kita semua adalah melalui doa kita setiap hari. Inilah tujuan kita datang ke Misa Kudus setiap hari untuk merayakan perayaan Ekaristi di tempat kita masing-masing.

            Di dalam Injil Santo Markus ini, Yesus berbelaskasihan kepada permintaan Bartimeus. Yesus menyembuhkan Bartimeus bukan hanya kerana imannya untuk memperolehi kesembuhan matanya, tetapi menyembuhkan dia secara rohani. Ini kita boleh renungkan kembali bagaimana Bartimeus mengikuti Yesus serta merta setelah memperolehi kesembuhan matanya (Markus 10: 52). Pengalaman rohani Bartimeus ini merupakan peringatan untuk kita semua bahawa kesembuhan Tuhan Yesus Kristus ini dapat kita perolehi hanya dengan berharap akan belaskasihan dan pengampunan dari Allah Bapa. Jika sebelum ini Bartimeus hanya mendengarkan orang lain tentang Yesus, Anak Daud, kini setelah mendengarkan suara Tuhan Yesus Kristus, dia akhirnya percaya bahawa kuasa penyembuhan Yesus ini adalah keinginannya untuk bertemu dan berjumpa dengan Yesus secara peribadi.

            Di dalam perayaan Ekaristi ini, marilah kita mendengarkan Tuhan melalui FirmanNya. Apapun yang kita minta di dalam doa, mintalah untuk kebaikan kehidupan kita seperti apa yang di alami oleh Bartimeus ini. Dia hanya mahu kesembuhan matanya agar dapat melihat kembali. Kita boleh mulakan dengar berdoa dan kemudian belajar untuk mendengarkan suara Tuhan. Di dalam doa keheningan, Allah hadir dalam kuasa Roh KudusNya. Masuklah di dalam keheningan dan rasakan bagaimana Tuhan mahu berbicara kepada kita di dalam doa hati kita. Jangan disebabkan mendengarkan orang lain kita mulai malas untuk berdoa dan kemudian meninggalkan iman katolik kita. Inilah Injil Santo Markus yang menceritakan tentang hubungan mereka berdua. Hubungan relasi ini merupakan bentuk suatu doa batin untuk mendengarkan Tuhan. Jika kita bersungguh-sungguh mahu datang dan berjumpa dengan Tuhan Yesus Kristus, ambilah masa setiap hari untuk datang ke gereja katolik untuk mendengar Firman Allah dan merayakan perayaan Ekaristi. Tetaplah bersandar kepada kekuatan Tuhan yang pasti menolong. Hanya yang perlu kita lakukan adalah jangan mudah berputus asa di saat kita mengalami pencobaan dan gangguan dari luar yang cuba menghalang kita untuk datang dan berjumpa dengan Tuhan Yesus Kristus (Markus 10: 48). Hubungan relasi inilah yang kita rayakan melalui Sakramen-sakramen gereja katolik kita. Hubungan relasi ini adalah bentuk doa di antara manusia dengan Allah Bapa di Syurga.

            Kita bersyukur kepada Tuhan kerana kasih karuniaNya. Jangan kita khawtir jika kita masih lemah di dalam soal kerohanian. Ikutilah Yesus Kristus apa yang Dia telah lakukan untuk kita semua. Kesalehan pada diri kita masing-masing mengungkapkan rasa hormat dan ketaatan kepada Tuhan kita. Ini mencerminkan sikap kita di dalam doa dan kesungguhan untuk menjalankan sikap keagamaan yang mendalam. Janganlah kita tersilap dan mulai keliru di sini mengenai Yesus berdoa. Ingatlah bahawa Yesus juga adalah manusia biasa seperti kita. Doa Yesus tidak dikabulkan sedemikian rupa untuk diselamatkan daripada kematian. Tetapi Yesus telah diselamatkan dari kuasa maut (Kisah Para Rasul 2:24) sehingga kematian-Nya oleh Allah diubah menjadi suatu kemuliaan yang mulia (Ibrani 5:1-6).

Contohilah bagaimana Nabi Yeremia mendengarkan Tuhan di dalam kehidupannya. Ciri-ciri yang ada pada diri dia adalah berjiwa halus dan hatinya penuh dengan kasih. Tetapi dia tetap taat untuk mendengarkan Tuhan agar pesan perjanjian baru untuk umat Allah dapat disampaikan dengan segera. Yeremia dipanggil dan diutus oleh Tuhan “untuk mencabut dan merobohkan, untuk membinasakan dan meruntuhkan” (Yeremia 1: 10). Dia juga taat kepada Tuhan untuk menubuatkan tentang kelaliman (Yeremia 20: 9). Disebabkan hanya untuk mendengarkan dan memilih untuk mengikuti jalan Tuhan, dia terpaksa berhadapan dan selalu harus melawan saudara-saudara sebangsanya, raja-raja, para imam, para nabi palsu serta seluruh bangsa. Tugas yang dia terima dari Allah ini menusuk hatinya. Tetapi yang perlu kita ketahui disini adalah pengalaman penderitaan yang dia alami memurnikan hati dia dan membuka jiwanya bagi pergaulan mesra dengan Allah. Pengalaman rohani seperti ini dapat kita mengerti  bahawa Tuhan sebenarnnya sentiasa hadir di dalam setiap aspek kehidupan kita semua, tidak kira tua dan muda di zaman kita dan pada masa kini (Yeremia 31: 7 – 9).

            Sebagai renungan kita yang seterusnya, teruskan berdoa dan merenungkan segala peristiwa dan kejadian yang telah tertulis di dalam Alkitab Katolik kita. Semakin kita bersatu dengan Tuhan, semakin jelas rencana dan kehendaknya di dalam kehidupan kita masing-masing. Semoga di dalam perayaan Ekaristi ini, kita bersama dengan seluruh umat Allah, dan bersama dengan paderi katolik kita, mempersembahkan doa syukur kita kepada Allah Bapa, untuk memohon pengampunan dan belaskasihan dari Tuhan, agar Ekaristi yang kita rayakan setiap hari menyelamatkan dan menyembuhkan, menyucikan dan menguduskan, dan seterusnya menghantar kita ke hidup yang kekal. Dalam kesempatan ini kita juga berdoa untuk panggilan hidup kita masing-masing. Semoga panggilan dari Tuhan seperti Nabi Yeremia ini, dan kesembuhan Bartimeus menguatkan lagi iman katolik kita untuk terus bersaksi dan mewartakan khabar gembira dari Tuhan agar pesanNya sampai di seluruh dunia. Tuhan memberkati kita semua.

Disediakan dan kemaskini oleh:

Jonathan Fabian Ginunggil,

Penampang, Sabah Malaysia.

No comments:

Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Bab 20

  Kitab Suci Katolik Perjanjian Lama (Kejadian) Abraham dan Abimelekh Bab 20 Kej 20:1 Lalu Abraham berangkat dari situ ke Tanah Negeb dan ia...