Pembacaan dan renungan singkat:
Markus 10: 35 – 45
Renungan singkat hanya untuk di kalangan umat Gereja Roman Katolik sahaja.
Untuk renungan yang singkat ini, saya menggunakan bahasa yang sederhana dan kampungan style punya (seperti perkongsian saya sebelum ini) agar dapat membantu kepada golongan bagi mereka yang lemah dan tidak terpelajar untuk memahani pesan Tuhan melalui firman-Nya yang kita baca, renungkan dan doakan setiap hari khususnya pada hari ini di Misa Kudus.
Saudara dan saudari yang saya kasihi dalam nama Tuhan Yesus Kristus,
Santo Yakobus dan Santo Yohanes berharap agar permintaan mereka dikabulkan oleh Tuhan Yesus Kristus. Mereka mahu agar diperkenankan untuk duduk dalam kemuliaanNya, iaitu yang seorang di sebelah kananNya dan disebelah kiriNya. Tetapi Yesus Kristus pada waktu itu menjelaskan bahawa pelayanan Dia di dunia bukanlah untuk membahagikan ganjaran (pahala) kepada manusia, melainkan menderita agar mereka semua diselamatkan. Itulah sebabnya mengapa Yesus Kristus mengatakan tentang cawan yang bererti penderitaanNya yang sudah mendekat.
Dan jika kita melihat kedua-dua mereka ini, Santo Yakobus (Yakobus anak Zebedeus) mati terbunuh oleh perbuatan raja Herodes sekitar pada tahun 44 (Kis 12: 2). Walaupun Santo Yohanes (Yohanes anak Zebedeus) tidak mengalami kemartiran, namun menurut ajaran gereja katolik kita, dia juga ikut serta dalam sengara Yesus Kristus. Dan baptisan tersebut sama seperti cawan ini melambangkan penderitaan yang sudah mendekat, sesuai dengan erti pertama dari kata Yunani di mana Yesus akan “terjun ke dalam” dilemparkan ke dalam jurang penderitaan (Markus 10: 35 – 39).
Inilah yang ingin disampaikan oleh Yesus Kristus pada waktu itu bahawa Dia datang bukan untuk dilayani tetapi untuk memberikan nyawaNya menjadi tebusan bagi banyak orang (Markus 10: 45). Daripada penjelasan disini, kita boleh mengerti bahawa rahsia penderitaan Yesus Kristus ini bukan disebabkan oleh kesalahan Dia sendiri sebagai Hamba Tuhan yang benar tetapi untuk menanggung dosa-dosa manusia dan menjadi pengantara bagi kita semua (Yesaya 49 – 55 atau Yesaya 52: 13 – 53: 12).
Di dalam perayaan Ekaristi ini, kita peringatkan pada diri kita masing-masing bahawa kasih di dalam pelayanan kita janganlah munafik. Firman Allah yang kita kongsikan kepada semua orang adalah Firman wahyu yang disampaikan oleh para Nabi dan Yesus Kristus seperti yang dikatakan di dalam Mazmur 95: 7 – 11. Firman itu adalah hidup dan berkarya di dalam orang-orang beriman, yang takut kepada Dia sebagai Tuhan dan yang berharap akan kasih setiaNya (Mazmur 33: 4- 5, 18 – 20, 22). Firman itu juga yang menghakimi perasaan dan niat yang terdapat di dalam hati manusia yang mencari perhentian ilahi. Ini menyentuh tentang jiwa dan roh (1 Tes 5: 23).
Menurut pengalaman kita secara peribadi, adakah kita merenungkan Firman Allah setiap hari dan menyimpan semua pengalaman tersebut di dalam hati kita? Jika Firman Allah muncul difikiran kita, ini menunjukkan bahawa kita diingatkan oleh Roh Kudus melalui doa meditasi yang telah kita lakukan. Pengetahuan seperti ini boleh membawa kita kepada kebijaksaan Tuhan. Pengalaman rohani seperti inilah yang kita perlukan untuk mengkongsikan kasih Allah kepada semua orang. Roh kudus akan bekerja di dalam karya pelayanan kita walaupun kita akan mengalami pelbagai cabaran dan penderitaan di dunia ini.
Jangan mudah mengalah apabila kita mengalami bermacam-macam penderitaan. Taatilah dan turutilah nasihat Santo Petrus kepada kita semua bahawa “bersukacitalah sesuai dengan bahagian yang kamu dapat dalam penderitaan Kristus, supaya kamu juga boleh bergembira dan bersukacita pada waktu Ia menyatakan kemuliaanNya.” (1 Petrus 4: 13). Berpeganglah pada pengakuan iman katolik kita. “Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunnya.” (Ibr 4: 14 – 16).
Disediakan
dan dikemaskini oleh:
Jonathan
Fabian Ginunggil,
Penampang,
Sabah Malaysia.
No comments:
Post a Comment